Salam Maal Hijrah 1431

Assalammualaikum.
Saya ingin mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan Selamat menyambut Tahun Baru Hijrah 1431 kepada semua umat Islam tidak kira dimana sahaja anda berada. Dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Memantap Ukhuwwah, Memperkasa Ummah’.
Bersempena dengan sambutan Maah Hijrah 1431, dua orang tokoh telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431 untuk anugerah peringkat antarabangsa dan peringkat kebangsaan.
Tokoh yang menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa ialah Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradawi. Beliau telah menerima wang tunai sebanyak RM100,000.00, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan. Beliau adalah ulama, pemikir, sarjana dan merupakan golongan intelek kontemporari pada abad ini.
Sementara itu, tokoh yang menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan ialah Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor. Beliau ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pengerusi Kumpulan FELDA. Beliau turut menerima wang tunai RM100,000.00, sebuah plak, pingat serta sijil penghargaan.
Doa saya agar lembaran baru 1431 Hijrah kali ini disambut dengan aman dan makmur. Mulakanlah langkah baru anda sebagai persiapan menghadapi cabaran yang mendatang.
PENGERTIAN HIJRAH
Mungkin kita memahami pengertian hijrah itu semata-mata berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebagaimana Rasulullah s.a.w berhijrah dari Mekah ke Madinah.
Sebenarnya hijrah membawa pengertian yang luas, keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada pada lingkungan rahmat dan keredhaan dari Ilahi. Tanpa sifat-sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil. Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Tuhan memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka’.
Apabila umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti datang. Allah akan mengubah keadaan mereka dari kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian. Dari keadaan yang kurang maju kepada keadaan yang lebih maju dan berjaya. Pertolongan Allah s.w.t akan tiba apabila umat Islam sanggup membela agama Allah. Ini dibuktikan oleh firman Allah s.w.t dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud :
‘Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu’.
Allah s.w.t membekalkan kita dengan cukup kelengkapan untuk menjadi manusia yang boleh berdikari dan berikhtiar dalam menentukan arah kehidupan. Kita dibekalkan dengan peralatan yang membolehkan kita memasuki dan merubah segala apa yang ada di sekeliling kita dan juga apa yang ada di dalam minda (pemikiran, persepsi, kesedaran dan emosi).
Justeru untuk memastikan perubahan diri manusia, kita perlu meneliti pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan. Antaranya ialah melalui pembangunan jiwa, pembangunan mental dan juga pembangunan fizikal.
Akhir kata marilah kita bersama menghayati bait-bait lagu di bawah ini.
Maal Hijrah
~~~~~~~~~~
Satu Muharam detik permulaan
Perkiraan tahun Islam hijrah
Perpindahan nabi dan umat Islam
Dari Kota Mekah ke Kota Madinah
Atas keyakinan dan iman yang teguh
Kaum Muhajirin dan Ansar bersatu
Rela berkorban
Harta dan nyawa
Demi menegakkan Islam tercinta
Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan
Hijrah itu persaudaraan
Hijrah membentuk perpaduan
Oleh itu
Mari semua kita sambut Ma’al Hijrah
Tingkatkan semangat
Tegakkan syiar Islam
Untuk sepanjang zaman
Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa, Prof. Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradawi

Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor
Foto BERNAMA
| View Comments |


![picture 611[1] picture 611[1]](http://blog.hcme.com.my/ZarinAziz/wp-content/uploads/2009/12/picture-6111-300x225.jpg)
![picture 617[1] picture 617[1]](http://blog.hcme.com.my/ZarinAziz/wp-content/uploads/2009/12/picture-6171-300x225.jpg)
![picture 620[1] picture 620[1]](http://blog.hcme.com.my/ZarinAziz/wp-content/uploads/2009/12/picture-6201-300x225.jpg)






























